KOTA KINABALU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada Sabtu menerima darjah kebesaran tertinggi negeri Sabah "Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) yang membawa gelaran "DATUK SERI PANGLIMA".
Datuk Patinggi Abang Haji Johari yang mendahului senarai 55 penerima pada istiadat kali ini menerima anugerah tersebut sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin.
Istiadat pengurniaan tersebut disempurnakan oleh Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bertempat di Istana Seri Kinabalu di sini.
Seramai 1,373 penerima telah disenaraikan untuk menerima pelbagai kategori anugerah dan darjah kebesaran negeri Sabah sempena sambutan perayaan tersebut.
Hadir sama isteri Premier, YABhg. Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.
Turut hadir mengiringi Premier Sarawak selaku menteri pengiring adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.